PEPATAH ‘bagai mencurah air di daun keladi’ sering diungkap menggambarkan sikap seseorang tidak mahu mendengar nasihat dan bersikap degil walaupun selepas ditegur berkali-kali.
Sebilangan golongan dewasa enggan menerima nasihat kerana ego walaupun mengakui perkara yang diperkatakan seseorang itu ada kebenarannya.
Bagi kanak-kanak pula, enggan menerima nasihat bukan disebabkan faktor ego, sebaliknya pendekatan kurang berkesan.
Jika tidak kena caranya, nasihat diberi dianggap sebagai ceramah, syarahan atau bebelan yang membosankan. Disebabkan tidak gemar mendengar cara penyampaian mesej sebegitu, kanak-kanak memilih untuk tidak mendengarnya.
Akibatnya anda yang penat bercakap, sedangkan orang yang ditujukan tidak berminat mendengar dan mengambil perhatian.
Bila waktu sesuai untuk anda berkomunikasi dan menasihati mereka? Menurut pakar psikologi dan perkembangan kanak-kanak, banyak keadaan dan tempat memberi ruang untuk ibu bapa menyelitkan mesej yang ingin disampaikan kepada anak.
Nasihat secara tidak langsung lebih mudah meresap masuk dalam jiwa anak berbanding nasihat panjang berjela.
Antara waktu sesuai untuk memberi nasihat ialah ketika anak hendak ke sekolah. Selepas anak mencium tangan dan pipi anda, dakap tubuhnya dan beri nasihat ringkas supaya rajin belajar atau beri tumpuan ketika guru mengajar.
Ketika mood anak anda baik dan mulutnya petah berbicara mengenai kisah di sekolah, anak boleh selitkan teguran yang ingin disampaikan.
Sebelum anak tidur malam, tiupkan kata motivasi supaya anak rajin belajar, menjadi anak yang salih dan orang yang berguna apabila besar nanti.
Waktu itu, biasanya seseorang melapangkan fikirannya untuk tidur dan nasihat yang lembut dan penuh kasih sayang dapat didengar dan difahami anak.
Selesai melakukan solat jemaah juga antara waktu sesuai untuk memberi nasihat atau mengingatkan anak supaya tidak lalai memenuhi tuntutan agama.
Anda boleh menyampaikan mesej ketika dalam kenderaan kerana mereka lebih mudah memberi perhatian terhadap perkara yang disampaikan berikutan kurang gangguan dan aktiviti yang hendak dilakukan memang terbatas.
Dalam kenderaan ialah masa baik untuk anda berkomunikasi dengan anak, mendengar luahan hatinya dan saling berusaha memahami antara satu sama lain.
Terlalu banyak memberi nasihat mungkin menyebabkan anak bosan. Oleh itu, beri teguran atau nasihat penting sekali-sekala supaya ia mudah terkesan di hati anak.
Lihat kemampuan anak menerima nasihat. Jika anak buat tidak peduli dengan kaedah dijalankan, cari pendekatan lain dan dipelbagaikan supaya dia tidak bosan.
Menasihati menggunakan kata yang baik, menyelitkan contoh dan teladan atau cara yang positif lebih mudah diterima anak.
Sabtu, 10 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan